Sabtu, 15 Ogos 2015

RUKUN NEGARA


Gambar di atas dapat memberikan gambaran bahawa prinsip Rukun Negara seolah-olah sudah dilupakan serta tidak lagi relevan dalam konteks kehidupan hari ini. Tindakan seperti mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta protes dan demonstrasi jalanan memberi gambaran jelas bahawa prinsip seperti Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang sudah tidak lagi diambil kira apabila pihak yang terbabit membuat pencaturan. Jangan kita lupa bahawa iklim kemakmuran dan keamanan negara yang selama ini dikecapi hanyalah mainan mimpi bagi sesetengah rakyat negara asing.
 Negara kita juga tidak sunyi dengan isu disiplin pelajar sekolah atau remaja yang semakin merosot, sanjungan yang semakin longgar terhadap guru dan warga emas serta pengabaian terhadap kanak-kanak. Suasana ini memberi isyarat bahawa tahap kesopanan dan kesusilaan segelintir masyarakat semakin rapuh. 

KONSEP RUKUN NEGARA

Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan Malaysia. Ia adalah satu susunan cara ataupun prinsip hidup bermasyarakat yang mengandungi nilai-nilai kenegaraan dan norma-norma sosial yang meliputi semua aspek kehidupan bernegara. Rukun Negara juga adalah satu doktrin untuk mencapai perpaduan kaum demi keharmonian dan kemakmuran negara Malaysia. 

Ideologi negara ini menggariskan lima prinsip yang lahir daripada aspirasi masyarakat dan negara Malaysia, dibentuk mengikut acuan Malaysia dan dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Rukun Negara yang menjadi pedoman kepada seluruh rakyat Malaysia jelas merupakan kunci kepada masyarakat pelbagai kaum di Negara ini untuk membentuk warga berintegriti. 


PRINSIP RUKUN NEGARA

Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya, memelihara satu cara hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil bagi kemakmuran negara yang akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai-bagai corak, membina satu masyarakat progesif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.


MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip yang berikut: 



SEJARAH RUKUN NEGARA


Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1970 iaitu semasa negara menyambut Hari Kemerdekaan Kali Ke-13. Doktrin Rukun Negara diperkenalkan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ketika itu memikul tanggungjawab menjalankan pemerintahan negara apabila sistem kerajaan berparlimen digantung pada 16 Mei 1969 ekoran rusuhan kaum yang lebih dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei 1969. MAGERAN yang diketuai oleh seorang Pengarah, ditubuhkan bagi memulihkan perpaduan yang semakin goyah pada masa itu iaitu perbalahan antara etnik yang pernah berlaku pada 1946, 1956 (di Pulau Pinang), 1960 (di Pangkor), 1966 (di Bukit Mertajam), 1967 (di Pulau Pinang) dan 13 Mei 1969 (di Kuala Lumpur). 

Rukun Negara adalah hasil daripada perbincangan-perbincangan yang diadakan oleh Majlis Perundingan Negara (MPN). Bagi melicinkan pemerintahan negara di bawah MAGERAN yang dipimpin oleh Y.A.B Tun Abdul Razak, MAGERAN telah menubuhkan tiga badan iaitu Majlis Muhibah Negara, Jabatan Perpaduan Negara dan Majlis Perundingan Negara. 

OBJEKTIF DAN MATLAMAT RUKUN NEGARA

  • untuk mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran Negara dapat dinikmati bersama secara adil saksama
  • untuk memelihara cara hidup demokratik
  • untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat
  • untuk membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak
  • untuk membina semua masyarakat progresif dengan menggunakan sains dan teknologi moden.

PENJELASAN PRINSIP RUKUN NEGARA


a) Kepercayaan kepada Tuhan

Bangsa dan Negara ini telah diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada Tuhan. Melalui kepercayaan beragama inilah akan menjadikan bangsa dan negara ini sebagai satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan kepercayaan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan dan tindakan membeza-bezakan terhadap seseorang warganegara atas alasan agama adalah dilarang sama sekali. 

Jawatankuasa penggubal Rukun Negara menyedari akan pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan manusia. Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang dan juga sesuatu bangsa dan negara. Menyedari betapa pentingnya keteguhan pegangan anggota masyarakat terhadap ajaran agama masing-masing, prinsip ini telah dipilih sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara. 


b) Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-Pertua Negeri bagi negerinegeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-Pertua Negeri adalah merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud, bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di- Pertuan Agong. 

c) Keluhuran Perlembagaan

Prinsip ini menekan perlunya rakyat menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan Negara adalah sumber perundangan yang tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada setiap rakyat negara ini akan hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. 

Setiap warga negara Malaysia dikehendaki menghormati, menghargai, serta memahami maksud dan kandungan serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara. 
Perlembagaan Negara telah digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua pihak di negara ini. Dengan demikian ia merupakan satu kontrak sosial rakyat yang tidak boleh dipersoalkan dan diganggu gugat oleh mana-mana individu atau mana-mana pihak. Perlembagaan Malaysia menentukan pola politik dan kedudukan sosio-ekonomi di negara ini. Ia adalah sumber rujukan bagi segala hal yang berkaitan denga sistem pemerintahan, perundangan, kedudukan dan hak sosioekonomi rakyat. 


d) Kedaulatan Undang-undang

Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang di mana setiap rakyat sama tarafnya di sisi undang-undang negara. Kebebasan asasi terjamin bagi semua warganegara Malaysia. Unang-undang negara berasaskan kepada Perlembagaan. 

Oleh itu kedaulatannya perlu diterima dan dipertahankan. Tanpa undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman dan stabil. Oleh itu undang-undang negara dijamin pula oleh institusi kehakiman yang bebas dan berwibawa. Setiap negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan satu masyarakat yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin kehidupan anggota masyarakat dapa bergerak dengan licin dan teratur tanpa sebarang kekacauan, di mana semua anggota masyarakat akan merasas selamat. Hak-hak semua rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar undang-undang serta perkara-perkara sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Negara. Hak-hak dari kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan itu tidaklah termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau dengan cara-cara yang tidak menurut Perlembagaan. 


e) Kesopanan dan Kesusilaan

Prinsip ke lima ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku seseorang rakyat. Tujuannya ialah untuk membentuk warga negara yang bersopan santun dan bersusila selaras dengan kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni yang dijalankan sekarang. Sifat individu yang bersopan santun dan bersusila adalah paling bermakna dan amat penting dalam konteks perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum di negara ini. 

Sikap bersopan santun dan bersusila patut diamalkan bagi membentuk seseorang individu dan masyarakat yang berdisiplin serta bermoral tinggi yang akan membantu mewujudkan sebuah masyarakat yang harmoni. Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau sesuatu golongan. Tingkah laku sopan juga mengandungi suatu darjah kesusilaan yang tinggi dalam kedua-dua kehidupan persendirian dan kehidupan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku masyarakat sentiasa terpelihara dan berkembang sesuai dengan keperibadian bangsa dan nilai-nilai murni. 



Kesimpulannya, mengamalkan Rukun Negara akan melahirkan masyarakat yang bersatu padu, bermuhibah tanpa mengira kaum serta bersikap saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Melalui perpaduan akan dapat membantu negara kita mempertingkatkan dan mempergiatkan lagi pertumbuhan ekonomi, mengekalkan kestabilan politik dan sistem pemerintahan negara yang bersifat liberal dan demokratik. 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan